Saturday, 27 February 2016

KONSEP, TUJUAN DAN CIRI-CIRI PERLEMBAGAAN MALAYSIA


KONSEP PERLEMBAGAAN MALAYSIA

Pengenalan
    Sebelum kedatangan kuasa asing ke Tanah Melayu, beberapa negeri di Tanah Melayu telahpun mempunyai sistem pemerintahan tersendiri. Hal ini dapat dilihat pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mengamalkan Undang-Undang Laut Melaka dan Hukum Kanun Melaka. Sementara itu, negeri-negeri yang lain mengamalkan adat tradisional, iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih. Adat Perpatih biasanya diamalkan di Negeri Sembilan dan Melaka. Masyarakat Melayu tradisional mementingkan adat dalam kehidupan mereka. Situasi ini menggambarkan telah wujudnya suatu sistem yang mengawal dan mengatur tata cara hidup masyarakat pada masa itu. Perlembagaan moden hanya diperkenalkan setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan dikemaskinikan setelah terbentuknya Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Definisi Perlembagaan
    Perlembagaan merupakan prinsip-prinsip asas yang menentukan cara sesebuah negeri itu diasaskan dan diperintah seperti yang termaktub dalam undang-undang, adat atau peraturan yang lazim dipakai. Perlembagaan juga bersangkut paut dengan cara keputusan-keputusan awam dicapai dan kuasa diagih-agihkan antara institusi kerajaan, sama ada di pusat ataupun pada peringkat tempatan. Perlembagaan juga akan menetapkan had-had kewibawaan kerajaan dan cara-cara pemilihan serta pelantikan pemerintah. 


No comments:

Post a Comment